Monday, 8 July 2013

TIPS : Elak anak hilang

Tip supaya tidak terpisah dengan anak ketika bercuti
Sepanjang cuti persekolahan ini, membawa anak ke tempat menarik dan menyeronokkan adalah agenda utama hampir semua ibu bapa saat ini.
Saat ini jugalah dimanfaatkan sepenuhnya ibu bapa yang kebanyakan¬nya sibuk dengan kerja seharian di pejabat.

Memanfaatkan sepenuhnya cuti persekolahan ini untuk membawa anak bercuti bagaimanapun mengundang kepada kesesakan di tempat yang menjadi tumpuan ramai.

Keadaan yang bersesak-sesak ini juga adalah situasi sukar dan menyebabkan perkara tidak diingini, contohnya anak terpisah daripada ibu bapa.

Apabila anak terpisah daripada ibu bapa terutama kanak-kanak di bawah usia lima tahun, tanyalah apa saja, hanya air mata yang mengalir.

Justeru, bagi mengatasi masalah ini terutama di musim cuti ini, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu.


Ajar anak mengingat nama anda

Ada kanak-kanak masih tidak tahu atau mengingati nama ibu atau bapa. Perkara ini juga merumitkan untuk mencari keluarga si kecil. Jadi, ajar anak mengi¬ngati nama anda atau pasangan supaya jika terpisah, petugas dapat mencari anda.


Tanda nama

Tanda nama yang leng¬kap dengan nama anda dan pasangan serta alamat dan nombor telefon untuk dihubungi ditulis di atas kertas atau kad kecil cukup membantu terutama terpisah dengan si kecil. Dengan meletakkan kad nama itu di dalam poket seluar anak atau beg anak, ke mana pun anda pergi dapat membantu sesiapa yang menjumpai mereka menghubungi anda.
Ajar mereka untuk menunjukkan tanda nama itu kepada petugas atau individu yang menjumpai mereka.


Dukung anak

Mendukung anak dalam keadaan yang sesak adalah langkah paling bijak daripada memegangnya apatah lagi jika anak masih kecil. Selain itu, ketika berjalan di dalam kesesakan, adalah lebih baik isteri di depan, anak di tengah dan bapa di belakang lebih-lebih lagi jika mempunyai anak lebih daripada dua. Dalam apa juga situasi, awasi anak anda dan jangan sesekali leka.


Tetapkan tempat berjumpa

Jika bercuti dalam kumpulan, pastikan anda menetapkan lokasi untuk berjumpa pada masa sudah ditetapkan. Walaupun masing-masing punya telefon, tetapkan tempat berjumpa untuk mengelak sebarang masalah seperti bateri telefon bimbit habis atau sebaliknya. Jika berkunjung ke taman tema atau kompleks beli-belah, jadikan kaunter pertanyaan sebagai tempat pertemuan jika terpisah dari kumpulan atau sebaliknya.


Jangan panik

Ketika terpisah dengan anak, jangan panik. Carilah mereka sebaik mungkin dan dapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya di mana juga anda berada. Panik hanya membuatkan anda hilang fokus dan bukan menyelesaikan masalah dengan sebaiknya.


Gambar terkini anak

Gunakan kemajuan tek¬nologi yang ada dengan merakam gambar terbaru anak. Gambar ketika keluar pada hari itu adalah yang terbaik. Sekurang-kurangnya, apabila anda mencari mereka, anda boleh tahu warna pakaian, kasut, beg dan banyak lagi petunjuk untuk mencari anak anda ketika mereka terpisah.

kredit : harian metro

Friday, 5 July 2013

Tip melancong: Rancang jadual perjalanan



Berkunjung ke tempat baru dan menikmati pelbagai resipi ketika bercuti sememangnya menyenangkan. Pergilah ke mana pun dan rasailah keenakan apa juga hidangan yang memberikan keseronokan buat anda saat bercuti.
Namun, dalam melakukan semua hal, ia menuntut tenaga yang lebih bagi tubuh anda. Sedang asyik menikmati percutian menyeronokkan, harus berhati-hati kerana keseronokan itu mungkin boleh membuatkan anda jatuh sakit.
Selain itu, anda perlu ingat bahawa perut anda tidak selalunya sesuai dengan semua jenis makanan. Pasti anda tidak ingin percutian anda terganggu kerana sakit, bukan?

Justeru, untuk tetap sihat sepanjang bercuti, tip melancong minggu ini harus diberi perhatian kerana ia mungkin dapat membantu.
BERSENAM

Walaupun bercuti, bersenam juga perlu dilakukan. Jika anda perlu menempuh penerbangan jauh, cuba berjalan di sepanjang laluan tengah di dalam pesawat untuk merenggangkan tubuh setiap satu jam. Manfaatkan juga kemudahan gimnasium jika ia disediakan di hotel penginapan anda.


BEREHAT

Sebelum memulakan percutian, rancang jadual perjalanan anda sebaiknya. Jika hari pertama anda seharian di luar dan banyak berjalan atau aktiviti lasak, biarlah hari berikutnya dimanfaatkan untuk beristirehat atau melakukan aktiviti yang membolehkan tubuh anda berehat.

Pilih juga aktiviti yang lebih santai seperti memanjakan diri di spa atau menonton pertunjukan teater, wayang dan jangan berjaga malam kerana anda memerlukan tidur yang cukup untuk aktiviti pada keesokan harinya.


MAKANAN BERSIH

Cari tempat makan bersih. Walaupun percutian anda itu percutian ‘cari makan’, anda tetap perlu memastikan tempat makan yang dikunjungi terjamin kebersihannya. Jangan sampai sepanjang perjalanan anda menahan sakit perut. Jangan lupa mencuci tangan sebelum dan sesudah makan. Bawalah sabun antiseptik yang berbentuk jel dan tidak perlu dibilas ke mana saja anda pergi.


ALAHAN

Jika anda mempunyai alahan tertentu, pastikan rakan anda tahu mengenainya. Hal ini penting supaya rakan anda dapat membantu jika anda memakan sesuatu yang membuatkan anda alahan.
Beritahu juga cara pertolongan bagaimana yang harus dilakukannya jika reaksi alahan muncul.
Lakukan hal serupa jika anda memiliki penyakit tertentu.


UBAT

Selalu bawa ubat-ubatan yang biasa anda pakai. Walaupun anda tidak menghidap penyakit tertentu yang memerlukan ubat khusus, tetap bawa ubatan biasa seperti ubat sakit kepala, selsema, cirit-birit, mabuk dan banyak lagi.
Justeru, jika anda sakit, anda sudah bersedia dengan ubatan, sekali gus dapat mengelak daripada sakit itu berpanjangan. Anda juga tidak perlu bergegas mencari farmasi atau kedai untuk mencari ubatan saat diserang sakit. Ubat yang anda cari juga adakalanya sukar diperoleh di farmasi terutama ketika anda bercuti di luar negara. Jadi, ubatan yang dibawa dapat membantu anda.


KRIM PELINDUNG MATAHARI

Sinaran matahari yang terik dapat memberi kesan buruk untuk kulit terutama bercuti di pantai atau berjalan-jalan di daerah panas terik. Oleh itu, rajin-rajinlah memakai pelindung tabir suria (sun block) dengan SPF 25 atau lebih. Sapukan juga pada tubuh anda setiap 30 hingga 60 minit sekali. Dengan pemakaian krim pelindung matahari, kulit anda tidak gelap ataupun alahan kerana terdedah dengan sinaran matahari terik.

Thursday, 4 July 2013

Tip melancong: Senarai barang mahu dibeli

Membeli-belah adalah aktiviti yang amat disukai kebanyakan orang ketika melancong. Dengan permintaan yang semakin meningkat maka terhasillah istilah percutian membeli-belah iaitu bercuti sambil membeli-belah.
Saat berkunjung ke destinasi yang menawarkan aktiviti membeli-belah juga sering menjadi pilihan pelancong masa kini.
Jika mahu bercuti sambil membeli-belah dan wang bukan masalah, anda ha¬nya perlu membuat senarai barang yang mahu dibeli di lokasi yang akan dikunjungi.

Tetapi jika poket tidak berapa memberi keizinan untuk berbelanja besar dan perlu membeli cenderamata khas dari tempat yang dituju untuk kenang-kenangan atau sekadar ole-ole, anda perlu berhemah saat berbelanja supaya perjalanan anda tetap berjalan lancar dan menyenangkan.

Justeru, apa tipnya? Langkah pertama, anda tetap perlu membuat senarai atau paling tidak tahu barang yang ingin dibeli. Kemudian, tentukan jumlah wang yang diang¬garkan untuk membeli apa yang disenaraikan.

Seterusnya, cari maklumat mengenai tempat penjualan barangan yang ingin dibeli itu. Ia boleh didapati daripada pelbagai sumber Internet. Salah satu sumber yang cukup meyakinkan adalah penduduk setempat di lokasi terbabit.

Di tempat berbelanja, jangan terpedaya dengan potongan diskaun atau promosi yang berlangsung. Perkara itu akan menyebabkan anda terdorong membeli barang-barang yang tidak diperlukan.

Namun, jika akhirnya tergoda saat berada di mana-mana lokasi membeli-belah, teliti dengan cermat barang yang akan dibeli itu. Adakah ia berbaloi untuk dibeli?

Carilah harga termurah untuk barang dengan kualiti yang lebih kurang sama. Dengan itu, jangan lupa melakukan penawaran.

Lakukan penawaran dengan tenang, jangan menunjukkan yang anda sangat tertarik pada sesuatu barang. Ajukan harga penawaran setengah daripada harga yang diajukan penjual.

Jika diberikan harga yang sangat murah, jangan pula mengambil lebih daripada jumlah yang perlu dibeli. Silap-silap nanti anda hanya akan simpan barangan yang banyak itu di dalam laci saat pulang ke rumah nanti.

Berbelanjalah dengan tenang, jangan terburu-buru. Hindari juga berbelanja ketika waktu sibuk atau jika anda tidak mempunyai masa yang cukup. Ini kerana ia secara tidak sedar membuat¬kan anda kerugian terutama dari segi harga dan kualiti. Selamat membeli-belah!

kredit : harian metro