Monday, 29 June 2015

Jika jatuh sakit ketika melancong

 Jika anda jatuh sakit ketika melancong, tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu. Selamat mencuba.

💊 - Maklumkan keadaan anda kepada pramugari
Jika berasa sejuk ketika dalam penerbangan ke destinasi percutian, jangan ragu-ragu memberitahu pramugari anda tidak sedap badan. Ini dapat membantu kerana pramugari akan memberikan anda bantal, selimut atau ubat supaya anda berasa lebih selesa. Secara tidak langsung, anda juga boleh mendapatkan rehat yang cukup.

💊 - Banyak minum air kosong
Apabila kurang sihat, selera makan akan berkurangan dan tekak bagaikan tidak boleh menelan makanan termasuk air kosong. Namun, usahakan untuk minum segelas air kosong setiap 15 minit. Ia cara terbaik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak. Apabila air kurang dalam badan, kita mudah diserang penyakit terutama selesema, batuk dan demam.

💊 - Tidur yangcukup
Tidur terapi yang cukup mudah untuk dilakukan dan ketika tidur, otak akan berehat, sel rosak diperbaiki dan mengeluarkan hormon negatif. Justeru, apabila sakit, tidur sangat mustahak untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Ini kerana selepas bangun daripada tidur, anda akan berasa lebih sihat. Jika anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala dialami, minum ubat selesema atau demam sebelum tidur. Ubat selesema dan demam yang mengantuk juga memberikan anda tidur yang lena sekali gus memberikan badan anda rehat yang cukup.

💊 - Rehat yang cukup
Ketika berasa kurang sihat, berehatlah selama beberapa jam. Jangan memaksa diri kerana percutian akan menjadi sia-sia dalam keadaan itu. Keadaan mungkin akan menjadi teruk kerana kedegilan anda dan anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau ketika didalam perjalanan.

💊 - Beritahu pihak hotel
Apabila tidak sihat, banyak kemungkinan boleh berlaku. Oleh itu, beritahu pihak hotel penginapan bahawa anda tidak sihat. Hal ini sangat penting terutama apabila anda menginap sendirian.
Dengan pemberitahuan itu, pihak hotel boleh membantu dari pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

💊 - Persiapkan ubat-ubatan
Ketika melancong, bawalah ubat-ubatan yang sesuai dengan penyakit yang sering dialami seperti selesema, batuk, demam dan cirit birit. Jika anda sendiri punya penyakit yang sering dialami seperti lelah atau alahan, jangan lupa membawa ubat terbabit kerana untuk mendapatkan ubat-ubat itu di negara luar mungkin menimbulkan sedikit masalah. Bawa jugalah ubatan yang bersesuaian dan sering anda gunakan.

💊 - Dapatkan pemeriksaan doktor
Apabila segala tip kesihatan diamalkan terutama minum air kosong, rehat dan tidur cukup serta mengambil ubat yang perlu tetapi masih tidak sihat, berjumpa dengan doktor adalah langkah terbaik.
Dengan mendapatkan pemeriksaan doktor, anda pasti akan diberikan ubat yang sesuai dan terbaik untuk masalah kesihatan yang dialami. Anda juga boleh mencegah sakit yang dialami berlarutan dengan mendapatkan pemeriksaan doktor dan dapat meneruskan percutian yang sudah lama dirancang.

💊 - Siapkan baju panas dan bersesuaian
Pastikan anda membawa baju panas atau jaket walaupun bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini antara langkah berjaga-jaga terutama apabila anda selesema. Ini kerana, badan biasanya menggigil ketika selesema walaupun tempat yang dikunjungi itu mempunyai suhu yang panas. Dengan adanya baju panas atau yang bersesuaian, anda boleh menggunakannya sebaiknya dan memberikan anda keselesaan.

💊 - Kepentingan insurans perjalanan
Ada orang menganggapnya tidak penting, justeru insurans perjalanan adalah perkara yang sering diabaikan ketika bercuti walaupun hakikatnya ia adalah perlindungan apabila berhadapan dengan perkara yang tidak diingini ketika di destinasi percutian. Merasa rugi mengambil insurans perjalanan kerana setiap kali bercuti tidak pernah menggunakannya juga adalah antara faktor yang membuatkan ramai di antara kita tidak membeli insurans perjalanan.

Namun, apabila sakit semasa di destinasi, ketika itulah segala apa yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat insurans perjalanan sangat diperlukan. Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung.

Friday, 26 June 2015

Anda memerlukan percutian mendamaikan, jom semak tips melancong ini.



        TUGASAN di pejabat bagaikan tidak pernah habis dan ‘angin’ untuk bekerja memang tidak ada apatah lagi tum­puan terarah kepada perkara lain.Jika ini yang anda alami, itu petanda memerlukan percutian yang mendamaikan dengan segera.

        Tanda itu juga memberitahu anda perlu merehat­kan badan dan mencari sesuatu yang segar.
Menyegarkan kembali badan dan fikiran sangat penting selain memulihkan semangat yang pudar.
Otak juga bagaikan baru diformat semula sehingga anda boleh bekerja dengan lebih efektif dan cemerlang.

Ingin tahu tanda lain anda memerlukan percutian mendamaikan, jom semak tip melancong ini.

* Selalu rasa penat
Jangan membiarkan situasi itu berlanjutan kerana ia boleh mengakibatkan sesuatu yang lebih bahaya.
Ia tidak memberi kesan kepada fizikal semata-mata, tetapi juga psikologi. Anda juga pastinya akan cepat marah jika mengalami situasi ini. Justeru, jika anda rasa keletihan, inilah masanya untuk bercuti.

* Tidak merawat diri
Kesibukan boleh membuatkan anda lupa menjaga hal yang penting iaitu merawat diri. Mana tidaknya, dengan kesibukan dihadapi, masa dirasakan begitu cepat berlalu sehingga tidak sempat merawat diri. Anda juga mungkin akan mulai mengambil makanan segera atau sering minum kopi supaya boleh tetap bekerja. Jika anda mengalami situasi ini, segeralah membuat perancangan bercuti di destinasi diimpikan.

* Tiada tumpuan kerja
Anda bekerja keras, tetapi seperti tugasan yang diberikan tidak selesai. Bahkan anda perlu kerja lebih masa untuk menyelesaikan semuanya mengikut masa yang ditetapkan. Anda juga sering bersalah dan menuntut anda untuk bekerja lebih keras lagi. Jika situasi ini anda alami, jangan beri alasan lagi.  Dengan situasi seperti itu, anda perlu bercuti di tempat yang menyenang­kan dan mendamaikan selama beberapa hari. Pastinya selepas itu, anda akan lebih fokus kepada kerja yang ada.

* Cepat marah
Tertekan dengan banyak kerja yang tidak selesai di pejabat bukan saja buat anda tertekan, tetapi membuatkan anda mudah marah.
Itu belum ditambah dengan perselisihan faham dengan rakan sekerja. Amarah anda bagaikan membuak-buak walaupun hakikatnya apa yang diperkatakan atau ditegur itu benar.
Jangankan ada salah faham dengan orang lain, terlanggar kerusi saja sudah membuatkan anda begitu marah.

        Jika sudah rasa seperti ini, duduk sejenak, mohon cuti dan pergilah bercuti di tempat yang memberikan kedamaian atau dikelilingi dengan kehijauan alam semula jadi.
Bercuti di tepi pantai, pulau atau taman negara adalah destinasi yang cukup tepat buat anda.
Pulang daripada bercuti nanti, anda pastinya lebih tenang.

Wednesday, 24 June 2015

Barang yang dilarang masuk pesawat




        Biarpun sudah banyak kali menaiki kapal terbang ke mana-mana destinasi terutama ke luar negara, pasti ramai masih keliru dan tertanya-tanya apakah barangan yang dibawa atau dibeli boleh dibawa naik pesawat atau sebaliknya.

       Justeru, bagi mengelakkan kerugian dan terpaksa meninggalkan barangan yang dibawa atau dibeli saat menaiki pesawat, jom semak senarai barangan yang dilarang dibawa bersama ketika menaiki pesawat.

* Barangan tajam
Jangan menganggap gunting kecil, mata pisau pencukur, pembuka botol, pemotong kuku dan apa saja barangan tajam boleh dibawa dengan alasan untuk kemudahan anda.
Walaupun saiznya kecil, ia tetap tajam dan pasti boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang di dalam pesawat.
Namun, anda dibenarkan membawa barangan tajam ini jika melalui bagasi besar, bukannya beg tangan yang anda bimbit kerana dikhuatiri boleh dijadikan senjata.

* Barangan cecair
Cecair yang dilarang dibawa naik pesawat ialah jenis minyak dan cecair pemetik api.
Bagaimanapun, cecair yang tidak mendatangkan bahaya mestilah dimasukkan ke dalam satu bekas yang tidak melebihi 100ml dan perlu dibungkus di dalam plastik yang diikat ketat.
Cecair yang dikecualikan lebih daripada had yang dibenarkan seperti ubat, makanan dan susu bayi boleh dibawa naik pesawat.

* Alat penyembur
Jawapan ini mungkin membantu wanita mengapa anda tidak dibenarkan membawa penyembur rambut, minyak wangi, racun serangga, penyembur lada, tin isian pemetik api dan semua jenis alat penyembur kerana ia mengandungi kandungan gas yang boleh menyebabkan kebakaran.
Bahan ini boleh meletup dengan mudah akibat suhu panas. Tetapi anda boleh membawanya melalui bagasi besar.

* Peralatan sukan
Tidak kira anda seorang atlet atau sebaliknya, apa saja barang peralatan sukan yang boleh dijadikan senjata dilarang dibawa ke dalam pesawat.
Walaupun peralatan sukan itu tumpul seperti kayu hoki atau raket tenis, anda tetap tidak dibenarkan untuk membawanya ke dalam pesawat kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada penumpang kerana saiznya besar. Ia juga boleh mengganggu orang ramai ketika menyimpan barang di atas ruang penyimpanan.

* Buah-buahan
Keenakan buah-buahan tempatan memang tidak dapat disangkal lagi. Namun, seenak mana pun, ada antara buah-buahan tempatan yang tidak dibenarkan masuk ke dalam pesawat kerana dikhuatiri baunya boleh mengganggu ketenteraman penumpang.
Buah seperti durian yang terkenal dengan baunya yang kuat dan tajam boleh menyebabkan penumpang yang tidak tahan berasa mual, muntah dan mungkin pengsan.

Selain durian, buah kuini dan cempedak juga antara buah-buahan tempatan yang tidak dibenarkan dibawa naik pesawat.

#tips #cuti #budget #travel