Wednesday, 24 June 2015

Barang yang dilarang masuk pesawat




        Biarpun sudah banyak kali menaiki kapal terbang ke mana-mana destinasi terutama ke luar negara, pasti ramai masih keliru dan tertanya-tanya apakah barangan yang dibawa atau dibeli boleh dibawa naik pesawat atau sebaliknya.

       Justeru, bagi mengelakkan kerugian dan terpaksa meninggalkan barangan yang dibawa atau dibeli saat menaiki pesawat, jom semak senarai barangan yang dilarang dibawa bersama ketika menaiki pesawat.

* Barangan tajam
Jangan menganggap gunting kecil, mata pisau pencukur, pembuka botol, pemotong kuku dan apa saja barangan tajam boleh dibawa dengan alasan untuk kemudahan anda.
Walaupun saiznya kecil, ia tetap tajam dan pasti boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang di dalam pesawat.
Namun, anda dibenarkan membawa barangan tajam ini jika melalui bagasi besar, bukannya beg tangan yang anda bimbit kerana dikhuatiri boleh dijadikan senjata.

* Barangan cecair
Cecair yang dilarang dibawa naik pesawat ialah jenis minyak dan cecair pemetik api.
Bagaimanapun, cecair yang tidak mendatangkan bahaya mestilah dimasukkan ke dalam satu bekas yang tidak melebihi 100ml dan perlu dibungkus di dalam plastik yang diikat ketat.
Cecair yang dikecualikan lebih daripada had yang dibenarkan seperti ubat, makanan dan susu bayi boleh dibawa naik pesawat.

* Alat penyembur
Jawapan ini mungkin membantu wanita mengapa anda tidak dibenarkan membawa penyembur rambut, minyak wangi, racun serangga, penyembur lada, tin isian pemetik api dan semua jenis alat penyembur kerana ia mengandungi kandungan gas yang boleh menyebabkan kebakaran.
Bahan ini boleh meletup dengan mudah akibat suhu panas. Tetapi anda boleh membawanya melalui bagasi besar.

* Peralatan sukan
Tidak kira anda seorang atlet atau sebaliknya, apa saja barang peralatan sukan yang boleh dijadikan senjata dilarang dibawa ke dalam pesawat.
Walaupun peralatan sukan itu tumpul seperti kayu hoki atau raket tenis, anda tetap tidak dibenarkan untuk membawanya ke dalam pesawat kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada penumpang kerana saiznya besar. Ia juga boleh mengganggu orang ramai ketika menyimpan barang di atas ruang penyimpanan.

* Buah-buahan
Keenakan buah-buahan tempatan memang tidak dapat disangkal lagi. Namun, seenak mana pun, ada antara buah-buahan tempatan yang tidak dibenarkan masuk ke dalam pesawat kerana dikhuatiri baunya boleh mengganggu ketenteraman penumpang.
Buah seperti durian yang terkenal dengan baunya yang kuat dan tajam boleh menyebabkan penumpang yang tidak tahan berasa mual, muntah dan mungkin pengsan.

Selain durian, buah kuini dan cempedak juga antara buah-buahan tempatan yang tidak dibenarkan dibawa naik pesawat.

#tips #cuti #budget #travel

No comments:

Post a Comment