Sunday, 13 October 2013

Bijak merancang jimatkan kos (5)

Memilih lokasi percutian juga bergantung kepada usia anak misalnya untuk anak di bawah usia setahun, percutian ke taman bunga atau melawat tempat perkelahan yang selamat dan semula jadi adalah sangat sesuai. Ini kerana mereka dapat melihat langit membiru dan pokok menghijau seperti di Taman Tasik Perdana atau Titiwangsa, namun perlu mempunyai kemudahan asas berdekatan.

Bagi anak berusia dua hingga empat tahun, tempat yang mempunyai kolam air untuk kanak-kanak atau taman permainan yang menarik sesuai untuk mereka manakala pada usia empat hingga enam tahun sudah bijak menilai dan berfikir justeru kawasan yang sesuai seperti pantai, taman tema air, taman tema kanak-kanak atau taman haiwan.

Bagi yang sudah bersekolah, kawasan percutian sesuai ialah taman tema, tempat bersejarah atau percutian berbentuk mencabar. Bagi kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun, sebuah percutian yang mudah dan ringkas, contohnya menginap tiga hari dua malam di pantai peranginan, tanpa program yang terlalu padat sesuai dengan usia mereka.

Bagi anak bersekolah rendah pula percutian adalah masa paling sesuai untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan pembelajaran, sekali gus mendorong mereka menghargai dunia di samping mencipta memori indah yang kekal sepanjang hayat.

Untuk anak bersekolah menengah, amat penting bagi ibu bapa memastikan pendapat mereka diterima dan sesuai dengan minat mereka. Percutian terbaik adalah percutian yang seimbang iaitu terdapat masa bebas untuk mereka melakukan aktiviti kegemaran mereka dan masa indah bersama keluarga.

No comments:

Post a Comment