Thursday, 9 July 2015

Tips : Kesilapan perlu dielakkan ketika melancong




==>> Tips melancong minggu ini menyenaraikan beberapa kesalahan perlu dielakkan saat bercuti di luar negara supaya percutian anda berjalan lancar.

😏 Beg lebih muatan
Keterujaan bercuti di luar negara ada kalanya membuatkan kita hampir membawa semua pakaian yang ada di dalam almari baju, terutama jika ia adalah percutian kali pertama di luar negara. Untuk tidak menyusahkan anda, jangan sesekali membawa beg dengan muatan lebih. Ini kerana, jika berada di luar negara, anda pastinya akan membeli pakaian baru di sana. Jika beg terlebih muatan, anda juga akan berhadapan dengan kos kompaun yang akan dikenakan. Justeru, bawalah pakaian yang mudah dicuci serta pakaian yang boleh dipakai berulang kali seperti jaket dan seluar jean.

😏 Tidak ada senarai semak
Ia mungkin kedengaran leceh tetapi hakikatnya, dengan menyediakan senarai semak, percutian anda akan menjadi lebih mudah. Tidak perlu menyenaraikan semuanya. Cukuplah sekadar satu senarai pendek yang memudahkan anda untuk melihat apa yang perlu dibawa, ke mana anda mahu pergi dan aktiviti apa boleh dilakukan sepanjang percutian anda itu. Senarai semak ini juga dapat membantu anda mengingati sesuatu perkara penting dan tempat yang harus dituju memandangkan anda tidak biasa dengan tempat dikunjungi. Percutian anda juga pasti akan lebih mudah dengan adanya senarai semak ini.

😏 Tidak membawa ubat-ubatan
Ketika bercuti, membawa ubat asas adalah sangat perlu. Bukannya apa, jika sakit tidak serius ketika bercuti, anda boleh merawat diri sendiri. Bukankah membazir jika anda jatuh sakit ketika bercuti dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik di destinasi yang di kunjungi? Jadi, untuk waktu kecemasan dan menjimatkan perbelanjaan anda di luar negara, bawalah ubat yang dirasakan sesuai. Anda mungkin boleh membawa paracetamol, ubat selesema, ubat batuk, minyak angin, ubat sakit perut, antiseptik, minyak urut, plaster, pembalut dan ubat lain yang dirasakan sesuai.

😏 Tidak menukar duit lebih awal
Menukar duit pada saat akhir atau menukar duit apabila sampai di destinasi adalah perkara yang harus dielakkan. Di sini, kita sudah tahu tempat yang bagus dan memberikan tukaran mata wang yang terbaik. Tetapi jika menukarnya di luar negara, anda boleh saja ditipu atau mungkin sukar untuk mencari pengurup wang. Ia pasti menyusahkan bukan. Jadi, pastikan anda menukar wang dulu sebelum ke luar negara. Tidak mengapa jika membawa wang lebih daripada yang diperlukan. Kalau ada lebihan, boleh disimpan atau ditukar balik.

😏 Tak ada ketua
Ketua yang dimaksudkan adalah orang yang boleh diharapkan untuk menyimpan semua dokumen penting seperti pasport, tiket, baucar hotel dan apa saja yang penting terutama bercuti lebih daripada seorang. Biasanya, mereka yang layak jadi ketua ini adalah seorang yang lebih terperinci dan peka dengan keadaan sekeliling. Bercuti dengan ‘ketua’ ini juga membuatkan anda lebih yakin dan selamat, terutama jika anda pertama kali keluar negara atau yang tidak yakin diri.

😏 Tidak membawa makanan ringan
Ia mungkin sesuatu yang melecehkan, namun sangat membantu terutama jika anda bercuti di negara yang sukar untuk mendapatkan makanan halal. Bawalah sekurang-kurangnya biskut, buah dan makanan ringan yang anda sukai. Mahu yang lebih menyelerakan, anda juga boleh membawa ikan bilis, mi segera dan banyak lagi yang dapat mengelakkan anda daripada kelaparan saat melancong.
Anda juga boleh menjimatkan duit untuk makanan dan dapat membeli lebih buah tangan untuk diri sendiri ataupun keluarga di tanah air.

https://www.facebook.com/promosijombercuti?ref=hl

No comments:

Post a Comment